Zeekr ada kemungkinan untuk di CKD di Malaysia

Zeekr ada kemungkinan untuk di CKD di Malaysia

Kenderaan Zeekr mungkin akan dipasang CKD di Malaysia. Begitu menurut Ketua Zeekr Asia Tenggara, Alex Bao ketika menjawab soalan dalam sesi pandu uji media MPV 009.

Semua model Zeekr yang dijual di Malaysia, iaitu 009 dan X, ketika ini merupakan model CBU dari China. EV CBU masih menikmati pengecualian duti import dan duti eksais hingga 31 Disember 2025, seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 — ia sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2023 sebelum dilanjutkan kepada 31 Disember 2025. Sementara itu, EV CKD pula akan diberikan pengecualian daripada duti eksais dan cukai jualan hingga 31 Disember 2027.

Ketika ditanyakan bagaimana Zeekr akan berdepan dengan situasi ini, Bao menjelaskan bahawa tarikh yang semakin hampir ini menjadi masalah kepada semua jenama EV dan pengeluar. “Tetapi jangan lupa yang kami berada di bawah kumpulan yang besar, yang mempunyai banyak kemudahan dan kemampuan pengeluaran di sini. Jadi, kami dalam perbincangan untuk mengatasi masalah ini, dan memerlukan masa,” jelasnya.

“Sudah tentu, untuk eksais duti, banyak jenama EV di Malaysia sedang cuba untuk berbincang dengan kerajaan. Masih ada ketidak pastian sama ada kerajaan akan menamatkan pengecualian atau melanjutkannya. Kami mengikuti perkara ini dengan teliti. Dalam masa yang sama, CKD juga sedang dipersiapkan,” tambah Bao.

Zeekr ada kemungkinan untuk di CKD di Malaysia

Adakah ini nanti akan melibatkan Proton sebagai rakan strategik bagi Zeekr, yang mana Proton ketika ini sedang membangunkan kilang EV barunya di Tanjung Malim. “Ada kemungkinan. Kami di bawah satu kumpulan besar (Geely) itu,” jawab Bao.

Kumpulan besar yang disebut Bao itu merujuk kepada Zeekr Technology Group, yang dibentuk berikutan penggabungan Zeekr dengan Lynk & Co Februari lalu — kedua-duanya merupakan portfolio jenama di bawah Geely. Sejak penggabungan itu, Zeekr telah menunjukkan 9X, model hibrid pertamanya, dan Bao juga ditanya sama ada model hibrid terbabit akan turut diperkenalkan di Malaysia.

Bao menjawab dengan menyatakan bahawa EV masih mempunyai potensi besar dalam pasaran seperti Malaysia. Namun, ada keperluan untuk penawaran sistem janaan lain. “Bagi saya, dalam masa terdekat, kami ada perancangan atau kami bersedia untuk menawarkan produk pemanduan sebelah kanan hibrid Zeekr di pasaran yang berkaitan,” ujar Bao.

Adakah Lynk & Co juga akan tiba di Malaysia dan diuruskan berasingan daripada Zeekr? Untuk ini Bao menjawab, ada kemungkinan untuk kedua-dua jenama itu diuruskan oleh satu pihak sahaja di pasaran pemanduan sebelah kanan. Beliau menambah, Geely Holding sudah mewujudkan ibupejabat luar China yang pertama di Kuala Lumpur untuk mengimbangi semua jenama yang ada di bawah portfolionya.

The post Zeekr ada kemungkinan untuk di CKD di Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.